BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, December 23, 2008

Bruce Lee dan Idealisme Karyawan

Mendiang Bruce Lee hanya terjun secara serius ke dalam dunia filem sekitar tiga atau empat tahun terakhir hayatnya. Beliau mati muda dalam usia awal 30-an. Namun, nama beliau terpahat sebagai lagenda yang memperkenalkan kung fu Cina kepada dunia melalui bidang perfileman. Beliau adalah orang pertama yang membuka mata dunia kepada kehebatan kungfu Cina melalui filem-filem lakonan dan arahannya.

Filem-filem yang sempat beliau arah hanya ada beberapa buah tetapi mengatasi kesemua filem box-office Hong Kong waktu itu, termasuk filem masyhur Way Of The Dragon. Memperkenalkan kungfu Cina kepada dunia adalah ‘jihad’ Bruce Lee. Itulah idealisme yang memantapkan filem-filem beliau. Disebabkan kuatnya beliau berpegang kepada idealisme itu, beliau menolak untuk terus membina nama di Hollywood selepas berlakon dalam siri The Green Hornet.
Beliau memilih untuk menghasilkan filemnya sendiri di Hong Kong walaupun beliau lahir di Amerika. Bruce Lee pulang ke Hong Kong dan bekerjasama dengan seorang penerbit filem di sana untuk ‘melawan’ Hollywood dengan berbekalkan idealismenya sebagai pakar kungfu. Beliau hanya bersetuju kembali ke Hollywood melalui filem Enter The Dragon arahan Robert Clouse dengan syarat-syarat yang ketat, termasuk meminta diberi kebebasan mengubah suai skrip dan mengarah babak pertarungan.

Beliau yakin, hanya seorang pakar kungfu sejati saja yang dapat menceritakan dan memvisualkan kehebatan kungfu Cina sebenar. Beliau yakin, pakar itu adalah beliau sendiri. Melalui filem, beliau membawa misi menaikkan kungfu Cina di mata dunia dan beliau berjaya. Misi itu kemudian disambung oleh Jet Li, Jackie Chan, Samo Hung dan lain-lain pakar kungfu (Jackie Chan dan Samo Hung adalah pelakon stunt dalam Enter The Dragon sebelum membina nama sebagai pelakon dan pengarah filem aksi).

‘Jihad’ Bruce Lee adalah memperjuangkan filem kungfu terbaik untuk tontonan masyarakat dunia hingga masyarakat dunia akur bahawa kungfu Cina memang hebat dan no. 1, sampaikan Hollywood sendiri pun banyak menyelitkan elemen kungfu Cina dalam filem-filemnya. Untuk filemnya Way Of The Dragon misalnya, Bruce Lee menulis sendiri skripnya, mengarah, menerbitkannya (melalui usahasama) dan melakonkan watak utama di dalamnya.

Maka, idealisme sebegitulah yang seharusnya ada, malah lebih kuat diperjuangkan, oleh karyawan Muslim. Oleh itu, wajarlah kita menyokong dan mendoakan inisiatif Kang Abik (Habiburrahman El-Shirazy) yang terjun langsung ke dalam dunia perfileman kerana memperjuangkan idealisme yang berteraskan Islam dalam pembikinan filem adaptasi Ketika Cinta Bertasbih karya beliau. Idealisme seorang Bruce Lee sudah pun disambut oleh pakar-pakar kungfu selepasnya. Mudah-mudahan idealisme Kang Abik akan disambut oleh karyawan-karyawan muda berjiwa Islam lainnya.

2 comments:

Hilal Asyraf said...

wah...

post ni buat darah saya menggelegak...

kita memang perlukan filem2 ISLAMIK tersebar.

Kalau begini, buat filem adalah antara cita-cita yang perlu saya sematkan. Sekurang2nya sebelum mati, nak kena ada satu filem

mungkin kena kerja sama dengan encik zakaria? ha ha..

encik, saya teringin nak bagi encik baca manuskrip TAKDIR.

Bagaimana?

encik berminat?

kalau berminat, bagitahu saya ya.

Anonymous said...

Sebenarnya itulah tujuan saya menulis post ini, nak membakar semangat bakat-bakat muda seperti Hilal Asyraf, hehe.
Memang, kita belum ada karyawan filem berjiwa Islam yang benar-benar faham bagaimana menjadikan medium filem sebagai alat berdakwah (mengajak manusia membesarkan Allah dan syariat-Nya) dan faham juga bagaimana menjadikan seluruh proses pembikinannya sebagai ibadah di sisi Allah.