BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Monday, December 1, 2008

Islamkah Skrip Filem Apabila Difilemkan?

Minggu lalu saya berbual-bual dengan novelis Kusyi Hirdan dan suaminya Encik Zulkifli. Gembira berkenalan dengan pasangan ini. Selepas berbincang tentang novel, kami bersembang pula tentang pembikinan drama.

Ada sesuatu yang bermain di dalam kepala Puan Kusyi. Sebagai novelis, beliau tentulah gembira apabila ada karyanya mahu diadaptasi kepada drama tv. Dalam masa yang sama, sebagai penulis yang ada prinsip, beliau juga prihatin tentang satu perkara.

Puan Kusyi menyoal, “Apabila karya kita mahu didramakan, adakah kita ada hak bersuara untuk memastikan drama itu tidak lari daripada prinsip yang kita pegang?”

Misalnya, adakah penulis dapat memastikan drama itu mematuhi prinsip ‘shariah-compliant’?

Keprihatinan ini sebenarnya dikongsi oleh ramai lagi penulis yang ada jiwa Islam, lebih-lebih lagi penulis yang ada kesedaran yang tinggi untuk mendidik masyarakat melalui karyanya. Beberapa minggu lalu saya bertemu dengan seorang penulis yang skrip-skrip drama bersiri dan telemovienya sudah banyak diterbitkan. Beliau meluahkan rasa kurang puas hati atas ‘layanan’ yang diberi kepada salah sebuah skrip drama bersirinya yang cuba diberi sentuhan nilai Islam. Nilai Islam itu gagal direalisasikan dalam drama itu.

Penulis-penulis yang prihatin ini mahu menggalas tanggungjawab ke atas impak karya mereka kepada masyrakat. Tetapi siapalah mereka untuk mengatur kerja penerbit dan pengarah. Apabila skrip mereka sampai ke tangan pengarah yang diamanahkan oleh penerbit untuk membuat kerja pengarahan, pandai-pandai pengarahlah untuk menterjemahkan skrip itu kepada medium visual. Jika skrip itu jatuh ke tangan pengarah yang berkongsi rasa prihatin yang sama, selamatlah karya itu. Jika unsur ‘shariah-compliant’ yang dimahukan oleh penulis, itulah yang akan cuba digarap oleh sang pengarah.

Saya berkata kepada Puan Kusyi, “Perkara begini patut awal-awal lagi dibincangkan oleh penulis skrip dengan penerbit. Itu pentingnya dicari penerbit yang ada cita-cita Islam.”

Bagaimanapun, kata saya, kadang-kadang penerbit sendiri hilang kawalan ke atas pengarah apabila mengambil pengarah yang kurang faham akan nilai-nilai Islam.

Saya mengenali seorang pengarah drama yang suka meminta pandangan penulis skrip sewaktu dia mengarah, malah pengarah ini suka jika penulis skrip berada di lokasi. Tetapi pengarah begini tidak ramai. Jarang ada pengarah yang suka penulis campur tangan dalam kerja mengarah.
Inilah sebabnya Habiburrahman El Shirazy sanggup mempelajari ilmu pembikinan filem selepas mendapati novel Ayat-ayat Cinta yang digarapnya kehilangan sesuatu apabila difilemkan.

Kini khabarnya Ustaz Habiburrahman (Kang Abik) sedang memantau pembikinan filem kedua daripada novelnya. Beliau memantau proses pembikinannya dari A sampai Z, hatta ketika memilih pelakon. Beliau sendiri yang mengadakan uji bakat (audition) untuk memilih pelakon untuk filem adaptasi novel dwilogi Ketika Cinta Bertasbih itu. Dan syarat pemilihan itu, antara lain, adalah si calon mesti tahu mengaji al-Quran dengan baik. Sewaktu saya menulis ini, beliau khabarnya berada di Kaherah, Mesir atas urusan pembikinan filem itu.

Kang Abik malah siap mempelajari teknik pengarahan filem. Apabila ada penerbit yang mahu memilemkan novel beliau dan sanggup memberi kepercayaan kepada beliau untuk mengarah sendiri filem itu, beliau sudah bersedia. Ertinya, beliau bersedia untuk mencorak karyanya secara menyeluruh apabila karya itu dipindahkan dari medium teks ke medium visual.

Oleh itu, apabila seseorang penulis mahu melihat karya bertulisnya kekal mempunyai nilai dan roh Islam ketika didramakan atau difilemkan, dia tidak wajar menyerahkan urusan itu kepada mana-mana penerbit. Dia harus berusaha memilih penerbit yang juga mempunyai cita-cita Islam dan sebaik-baiknya penulis dapat mencadangkan nama pengarah yang dia yakin mampu memindahkan nilai dan roh Islam dalam karyanya ke dalam bentuk visual yang berkualiti.

4 comments:

Hilal Asyraf said...

Ya, saya juga pernah berfikir mengenai hal ini. Sebenarnya saya kecewa sungguh dengan filem ayat-ayat cinta.

Sebenarnya, filem yang baik adalah filem yang benar-benar bersih. Ia perlukan peantau rapi.

Macam filem2 iran, mereka menjaga syara' dan filem mereka berkesan.

Saya pun sebenarnya bercita-cita nak buat filem.

tengoklah satu hari nanti.

pastinya filem yang memberi kesan kepada hati dan syar'ie

Anonymous said...

Sdr Hilal, saya menyokong bakat-bakat muda seperti saudara untuk mencorak senario pembikinan filem masa depan. Kita belum ada pembikin filem yang benar-benar berjiwa Islam dan berjuang untuk membina peribadi Muslim serta mengetengahkan keindahan Islam melalui filem.

Oh ya, novel Takdir sudahkah ada calon penerbitnya?

Hilal Asyraf said...

novel TAKDIR akan dihantar ke Pertandingan Hadiah Sako 3 hujung bulan ini. Keputusannya pada bulan enam tahun depan. Jika menang, maka DBP akan menerbitkannya. Tapi saya tak rasa saya akan menang sebab hadiah Sako 3 ini akan mengumpulkan semua npvelis ternama Malaysia. Mentor saya kata, ini pertandingan Heavyweight.
kalau saya kalah, mentor kata dia akan carikan syarikat penerbit.
mungkin encik zakaria boleh bagi komen membina mengani novel TAKDIR ni. Kerana ia satu percubaan saya untuk menandingi novel Lord of The Ring karangan JRR Tolkien.

Anonymous said...

Saya belum dapat beri komen novel Takdir. Baru baca secara tebuk-tebuk sebab tak mengikuti dari awal dalam blog. Sepintas lalu, saya tertarik. Ada elemen misteri, fantasi, tragedi dan sedikit elemen cinta kalau saya tak silap, namun juga ada nilai Islam terutama nilai tauhid dan nilai jihad. Ini novel futuristik Islam, tentu sentuhan dan impaknya berbeza dgn novel latar semasa.