BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, December 12, 2008

Sedikit Tentang Mengurus Idea

“Tuan, bagaimana cara mengurus idea?” Ada yang bertanya.
Penulis harus memiliki kemahiran mengurus idea supaya dapat menulis dengan berkesan, khususnya untuk menulis buku atau novel. Tetapi mungkin konsep pengurusan idea (idea management) ini belum begitu difahami berbanding dengan pengurusan masa (time management).

Secara mudah, mengurus idea melibatkan aktiviti mencatat idea, menyimpan idea, mengembangkan dan mematangkan idea, menyusun serta menggunakan idea dalam penulisan. Sebagaimana kemahiran mengurus yang lain, ia memerlukan sedikit teknik atau kaedah.

Mengurus idea yang terbukti berkesan adalah dengan menggunakan pemikiran non-linear. Dalam entri sebelum ini, saya ada berkongsi sedikit maklumat mengenai kaedah yang dinamakan KJ Method. Kaedah ini boleh diaplikasi dalam mengurus idea dengan baik dan berkesan, khususnya untuk menulis buku.

Salah satu ciri dalam kaedah ini adalah mencatat dan menyusun idea secara tidak mengikut urutan atau secara melompat-lompat. Untuk memahami kaedah mencatat idea secara melompat-lompat ini, saya ingin membawa analogi bagaimana al-Quran diturunkan dan disusun.

Memang al-Quran bukan idea manusia tetapi wahyu daripada Allah. Namun dalam sejarah susur galur turunnya al-Quran dan kerja menyusun al-Quran itu, kita mendapat sedikit ilmu yang boleh dikaitkan dengan konsep mengurus idea menggunakan pemikiran non-linear.

Kita tahu al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur dalam masa kira-kira 23 tahun. Selain diturunkan secara beransur-ansur, al-Quran juga diturunkan oleh Allah tanpa mengikut urutan sesebuah surah. Jika mengikut urutan surah, tentulah surah al-Fatihah lebih dulu diturunkan, diikuti surah al-Baqarah dan seterusnya sampai surah an-Nas. Kerana itulah tertib susunan surah di dalam al-Quran yang bermula dari surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nas. Bagaimanapun, Allah menurunkan dulu surah al-‘Alaq iaitu surah ke-96 dalam al-Quran. Manakala wahyu terakhir yang diturunkan adalah surah an-Nasr, surah ke-110, bukan surah an-Nas, surah ke-114 iaitu surah terakhir dalam al-Quran.

Allah juga tidak menurunkan al-Quran mengikut urutan ayat. Jika mengikut urutan ayat, tentulah selepas Allah menurunkan ayat 1-5 surah al-‘Alaq, Allah menurunkan sambungannya iaitu ayat 6-19. Tetapi wahyu kedua yang diturunkan selepas ayat Iqra’ adalah ayat 1-9 surah al-Qalam, surah ke-68 dalam al-Quran. Sambungan surah al-‘Alaq diturunkan kemudian.

Setiap turunnya ayat al-Quran, Nabi SAW menghafalnya dan baginda meminta Sahabat-sahabat menghafalnya. Ada Sahabat yang menghafal sebahagian, ada yang menghafal keseluruhan al-Quran mengikut tertib urutan ayat dan surah yang Nabi ajarkan. Ada Sahabat yang menulisnya menggunakan pelbagai medium seperti pelepah tamar, atas batu dan sebagainya. Bagaimanapun, tulisan ayat-ayat al-Quran waktu itu terpisah-pisah.

Selepas Nabi SAW wafat iaitu pada zaman Sayidina Abu Bakar, barulah al-Quran itu ditulis seluruhnya. Sahabat yang diberi tugas ini adalah Zaid bin Tsabit. Sahabat ini menulis keseluruhan ayat al-Quran di dalam lembaran-lembaran dan kemudian mengikat lembaran-lembaran itu dalam keadaan tersusun menurut urutan ayat-ayat dan surah sebagaimana yang sudah ditetapkan oleh Nabi SAW.

Ertinya, al-Quran diturunkan tanpa mengikut urutan ayat mahupun surah tetapi disusun kemudiannya mengikut tertib susunan yang diberitahu oleh Nabi SAW. Begitulah menurut maklumat yang sampai kepada kita. (Lihat Al-Quran dan Terjemahannya, Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al-Quran, Indonesia.)

Salah satu perkara yang kita boleh pelajari daripada proses al-Quran diturunkan yang tidak mengikut tertib urutan ayat mahupun urutan surah itu adalah, begitulah proses tabii atau semulajadi dalam menyusun banyak benda dalam kehidupan kita ini.

Misalnya, apabila kita mengutip bunga-bungaan untuk dijadikan gubahan, kita akan mengutip mana-mana bunga yang dirasakan sesuai dan selepas itu baru kita gubah atau susun mengikut kreativiti kita. Kita tidak akan mengutip bunga mengikut mana dulu yang akan diletakkan di dalam bekas gubahan.

Begitu juga apabila kita mengeluarkan ramuan-ramuan untuk memasak, kita akan keluarkan mana-mana yang sempat dicapai dulu. Kita tidak akan keluarkan mengikut urutan bahan yang hendak dimasukkan dulu di dalam kuali atau periuk.

Apabila kita memotong kain untuk dibuat pakaian, kita akan potong mana-mana bahagian yang dirasakan lebih mudah dipotong dulu, bukannya memotong bahagian yang hendak dijahit dulu. Selepas dipotong-potong mengikut saiz, barulah kita akan susun potongan-potongan itu untuk dijahit.

Demikianlah juga dalam mengurus idea untuk menulis sebuah buku atau novel. Kita akan mencatat apa-apa idea yang terlintas atau yang diperolehi selepas melakukan penyelidikan. Mengikut proses semulajadi, kita hanya perlu mencatat saja dulu dan fikirkan susunannya kemudian. Kita tidak perlu bersusah payah mencatat idea-idea itu mengikut urutan yang betul.

Perkara pertama yang penting dalam mengurus idea adalah mencetuskan satu idea besar. Sebab itu ramai penulis yang dari awal lagi sudah mencari tajuk yang dirasakan sesuai untuk buku atau novelnya. Berdasarkan tajuk itu (walaupun sekadar tajuk sementara atau ‘working title’), penulis sudah nampak apa yang hendak ditulisnya. Dia sudah menetapkan halatuju tulisannya. Dari situ akan tercetus pula idea-idea kecil yang berkaitan dengan apa yang hendak ditulis. Idea besar tadi adalah induk kepada tulisan kita yang kemudian disokong dan dikuatkan dengan idea-idea kecil.

Apabila sudah dikenal pasti hendak menulis tentang apa, perkara kedua adalah mencatat idea secara beransur-ansur dengan tidak mengikut urutan. Penulis akan mula memikirkan idea-idea untuk dimuatkan di dalam tulisannya. Di sini perlunya pemikiran non-linear iaitu cara berfikir yang tidak mengikut susunan yang betul tetapi melompat-lompat. Ibarat hendak membina bangunan tiga tingkat, ia mungkin bermula dengan menyiapkan tingkat dua dahulu. Tidak semestinya disiapkan tingkat satu baru boleh membina tingkat dua.

Di peringkat ini, apa saja idea yang muncul harus dicatat. Idea ini mungkin diperolehi ketika membaca buku orang lain, sewaktu membuat rujukan, selepas berbincang, selepas bertemubual dengan responden, melalui perbualan biasa atau sumber-sumber lain. Ada juga idea yang datang waktu sedang rehat-rehat, sedang memandu, sedang memasak, sedang beriadah dan sebagainya. Pokoknya, semua idea ini harus segera dicatat.

Mencatat segera idea yang datang adalah salah satu perkara penting dalam teknik mengurus idea. Dalam KJ Method, idea-idea ini dicatat dalam kad-kad kecil. Satu kad untuk satu idea. Kad-kad itu dihimpunkan di dalam sebuah bekas. Apabila hendak menulis, kita akan melihat semula kad-kad yang sudah banyak terhimpun itu. Kemudian kita menyusun kad-kad itu mengikut kelompok-kelompok berasingan. Kad-kad yang mengandungi idea-idea yang berkait rapat antara satu sama lain disatukan dalam satu kelompok. Satu-satu kelompok mungkin boleh dijadikan satu bab buku. Atau dua kelompok boleh dicantumkan untuk dijadikan satu bab, bergantung pada bagaimana penulis menyusunnya kemudian.

Sekarang sudah ada komputer. Sebagai ganti kad, kita buka satu fail dalam komputer untuk satu-satu idea yang terlintas. Satu fail untuk satu idea. Fail-fail itu dihimpunkan di dalam satu folder besar (master folder). Satu master folder adalah untuk sebuah buku. Apabila dirasakan sudah cukup idea yang terkumpul untuk dikembangkan menjadi sebuah bab misalnya, kita pun menulisnya. Bab mana yang mahu disiapkan dulu bergantung pada cukup atau tidak bahan idea yang terkumpul.

Begitulah lebih kurang cara mengurus idea menggunakan pemikiran non-linear, khususnya menggunakan KJ Method.

2 comments:

Hilal Asyraf said...

saya suka idea ni.

Betul apa yang ditulis oleh encik tu.

Cuma kena rajin la...

saya ni pemalas sedikit... ha ha..

Tapi saya akan cuba amalkan mutiara dari post ini.

Terima kasih encik.

Azimah Rupilen said...

sesungguhnya inilah satu sebab saya selalu menghadapi writer block..

alhamdulillah terima kasih kerana menulis post ini..