BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, January 9, 2009

Adakah Bakat Itu Diwarisi?

Sewaktu saya berusia sekitar lima tahun, ayah saya membawa kami sekeluarga berpindah ke rumah bersebelahan sebuah banglo besar milik Mr. Cheliah, seorang jurutera berbangsa India yang berkahwin dengan wanita Cina. Rumah yang kami diami adalah rumah yang disediakan oleh Mr. Cheliah untuk pekerjanya – ayah dan ibu saya. Ia terletak di sebuah perkampungan Cina. Selain keluarga kami, hanya ada dua keluarga Melayu tinggal di situ.

Ayah dan ibu saya menoreh getah di kebun getah seluas 5 ekar milik Mr. Cheliah. Ayah saya juga bekerja menjaga tanaman di halaman banglo dan kebun buah-buahan majikannya itu. Kebun buah-buahan itu adalah tempat saya bermain waktu kecil. Di situ ada pohon rambutan, pulasan, ciku, rambai, jambu, manggis, durian, cempedak, nangka dan beberapa jenis buah-buahan lagi. Rambutan saja ada beberapa jenis, yang kesemuanya manis dan longkah. Ayah sayalah yang menanam semua pohon buah-buahan itu. Orang kata tangannya ‘sejuk’, apa yang ditanamnya mudah menjadi dengan izin Allah.

Arwah ibu saya pula selain menoreh getah, sering diminta memasak apabila Mr. Cheliah mengadakan jamuan di rumahnya. Memang ibu saya mempunyai bakat semula jadi dalam bab masak-memasak dan selalu menjadi ketua tukang masak di majlis kenduri kahwin di kampung kami, Kampung Melayu Majidi.

Sewaktu ibu saya bekerja sebagai pembantu rumah untuk sebuah keluarga doktor selepas kematian ayah saya, doktor ini pernah mengadakan jamuan yang turut dihadiri oleh Tengku Mahkota Johor waktu itu (kini Sultan Johor, Sultan Mahmud Iskandar). Baginda rupanya sangat berpuas hati dengan masakan ibu saya, lalu mencari ibu saya di dapur semata-mata untuk memuji masakannya.

Saya tidak mewarisi bakat ayah saya dalam bab menanam pokok dan saya juga tidak mewarisi bakat ibu saya dalam bab memasak. Saya ditakdirkan terlibat dalam bidang penulisan.

Saya yakin, ramai penulis yang tidak mewarisi bakat menulis daripada sesiapa. Mereka datang dari pelbagai latar belakang yang tidak ada sangkut-paut dengan dunia penulisan. Entah dari mana tercetus dan timbulnya bakat menulis itu, Tuhan saja yang tahu.

Adakah bakat menulis itu sudah dititipkan ke minda seseorang sejak lahirnya? Atau ketika dia mencapai umur tertentu?

Yang pasti, menulis memang ada kaitan rapat dengan bakat. Sama seperti bidang-bidang yang lain juga.

Allah memberi kelebihan yang dipanggil bakat itu kepada setiap orang. Cuma setiap orang berbeza-beza bakatnya. Dan bakat itu sendiri pun tidak sama grafnya. Ada yang bakatnya tinggi, ada yang sederhana dan ada yang biasa-biasa saja.

Sering disebut agar seseorang yang berbakat itu ‘menggilap’ bakatnya. Jika dia ada bakat menulis, dia harus menggilap bakat menulis itu. Apabila digilap, bakat itu akan lebih menyinar. Oleh itu, bakat yang biasa-biasa boleh ditingkatkan ke tahap sederhana. Bakat yang sederhana boleh ditingkatkan ke tahap tinggi.

Saya rasa, apa yang sebenarnya berlaku adalah meningkatnya kemahiran (skill), bukan meningkatnya bakat. Penulisan adalah satu bentuk kemahiran. Apabila seseorang yang ada bakat menulis itu rajin menulis dan rajin pula meneroka teknik-teknik penulisan yang betul, kemahiran menulis itu akan meningkat. Tulisannya semakin tajam, ada seni dan sedap dibaca.

Jika memang ada bakat, mudah saja seseorang itu menulis dalam apa-apa genre penulisan yang dia minati. Kemahirannya dalam menulis akan menyerlah dalam genre yang ditekuninya. Sifat peribadi, latar belakang keluarga, latar belakang pendidikan, pengaruh persekitaran dan idealisme yang didukungnya akan mempengaruhi hasil tulisannya.

Dan jika memang seseorang itu ada bakat menulis, melihat sekilas hasil tulisannya pun sudah dapat dikesan bakat itu.

Saya baru menerima manuskrip buku daripada seorang ustaz yang saya sendiri tidak sangka dia boleh menulis dengan begitu baik. Dia biasa berceramah, memberi kuliah dan memberi tazkirah di radio. Isi ceramah, kuliah dan tazkirahnya sentiasa bernas. Itulah yang mendorong saya meminta beliau menulis buku.

Apabila melihat hasil tulisannya, hati saya segera berkata, “Ustaz ini memang ada bakat menulis. Garapan pena dan bicara lisannya sama baik.”

No comments: