Seorang novelis di bawah bimbingan saya bertanyakan pendapat saya, adakah berbaloi dia mengikuti satu bengkel penulisan yang yurannya agak tinggi juga.
Saya menggalakkan dia mengikuti bengkel tersebut. Pertama, kerana sebagai penulis baru, memang elok dia mendapat banyak pendedahan. Kedua, kerana saya yakin bengkel itu akan memberi impak yang besar kepada penulis baru yang sedang bersemangat menulis sepertinya. Sebabnya, bengkel itu dikendalikan oleh Encik Fauzul Naim Ishak, orang yang cukup berpengalaman dalam dunia penerbitan dan telah menjadi mentor kepada ramai penulis.
Selepas mengikut bengkel tersebut, novelis tadi menghantar sms kepada saya, “Memang berbaloi saya mengikuti bengkel Encik Fauzul. Banyak ilmu yang saya dapat.”
Melalui mana-mana bengkel, kursus atau seminar penulisan, penulis biasanya akan mendapat tiga perkara iaitu mendapat rangsangan untuk menulis, mendapat bimbingan dan mendapat ilmu dalam teknik penulisan.
Dalam entri terdahulu, saya pernah menyentuh tentang perlunya penulis belajar menulis seperti pelatih renang belajar berenang. Pelatih renang akan belajar berenang dengan turun ke dalam air, bukan belajar di atas daratan. Di dalam air itu, dia belajar mengapungkan diri serta menguak tangan dan kaki untuk menguasai kemahiran berenang. Ada teknik yang akan diajar oleh jurulatih untuk memudahkan dia menguasai kemahiran itu.
Apabila penulis atau calon penulis menghadiri bengkel-bengkel penulisan, dia akan mempelajari teknik-teknik yang boleh digunakan untuk menulis dengan lebih baik. Misalnya, teknik menarik minat pembaca bermula seawal paragraf pertama atau seawal bab pertama, menyusun dan mengurus idea, memecahkan tulisan kepada paragraf, menyusun bab, mendapatkan idea untuk menulis, menggunakan pendekatan bercerita, memilih kata-kata yang berkesan dan sebagainya.
Dengan sifu saya, Saudara Pahrol Mohd Juoi, saya belajar teknik menggunakan analogi dan kisah untuk merencahi tulisan.
Untuk menulis novel, ada teknik yang boleh dipelajari untuk menghasilkan dialog yang berkesan, menyudahkan novel dengan penutup yang baik, menyelitkan nilai didikan, mencipta watak yang ‘hidup’, mengembangkan plot, mewujudkan ‘cliff hanger’ di hujung bab, menjadikan setiap bab sebagai ‘mini story’, dan banyak lagi.
Besar kelebihannya jika penulis dapat memahami dan menguasai teknik-teknik menulis, bukan saja melalui bengkel dan kursus tetapi juga dengan membaca buku-buku bimbingan penulisan. Sebab itulah Minggu Penulis Remaja (MPR) misalnya, berjaya melahirkan ramai penulis fiksyen yang berketrampilan. Penulis yang sudah sedia berbakat, dapat mengembangkan bakat mereka setelah memahami teknik-teknik menulis di bawah bimbingan penulis yang mengendalikan program itu.
Saya sendiri menerima proposal-proposal novel yang baik daripada beberapa mantan peserta MPR. Seorang dua sudah pun menyiapkan novelnya yang bakal diterbitkan oleh Galeri Ilmu.
Bagaimanapun, tentulah teknik menulis hanya dapat dimanfaatkan jika seseorang itu sudah mula menulis dan terus menulis. Selagi dia belum berada di dalam ‘air’, dia tidak akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada teknik-teknik yang dia pelajari.
Program seumpama MPR itu berkesan kerana peserta didedahkan dengan teknik-teknik menulis dan diberi ruang melatih kemahiran menulis menggunakan teknik-teknik yang mereka pelajari itu sepanjang program itu berlangsung.
Kepada calon-calon penulis, carilah ruang dan waktu untuk mempelajari teknik menulis melalui bengkel, kursus, buku atau maya. Kemudian, praktikkan teknik-teknik itu supaya ilmu menjadi amal. Moga Allah mempermudahkan dan memberkatinya.
No comments:
Post a Comment