BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, January 2, 2009

Menyunting Sambil Berguru Dengan Penulis

“Ana sendiri mendapat manfaat yang besar apabila membaca semula artikel-artikel itu. Kira bergurulah ni. Moga Allah berkati ilmu ini bagi ana,” beritahu saya kepada sahabat dan guru saya, Ustaz Amaluddin Mohd Napiah, yang sedang menyiapkan bukunya dalam siri Inspirasi Pagi.

Saya sedang menghimpun artikel-artikel Ustaz Amal yang die-melkan oleh beliau secara berfasa, untuk dibukukan.

Sesuatu yang saya suka mengenai kerja menyunting (editing) adalah kita menjadi orang pertama mendapat manfaat daripada bahan yang disunting. Seharusnya begitu.

Cuma ada ketikanya apabila terlalu banyak yang hendak disunting dalam satu hari, kita jadi lali juga dengan sumber ilmu yang berlari di hujung jari. Ini yang dibimbangi, kerana diri sendiri tidak dapat mengambil manfaat dari tulisan orang lain yang mahu dikongsi.

Apabila terlalu sibuk membetulkan tatabahasa, ejaan dan tanda bacaan, ada kalanya kita sudah hilang fokus pada isi bahan yang disunting. Maka waktu itu akan terasa rugi. Kesibukan membetulkan benda-benda kecil itu memang kadang-kadang membawa tekanan. Ralit melakukannya tapi ia sedikit sebanyak menyumbang kepada stres.

Satu ketika dulu di agensi berita tempat saya bekerja, ada penyunting yang gemar melepaskan stres dengan cara memaki dan mencarut. Waktu bahan berita masuk bertali arus dan bahan-bahan itu perlu dilepaskan segera kepada pelanggan, meja penyuntingan akan menjadi sangat sibuk. Jika ada bahan berita yang tidak kemas olahannya yang sampai ke meja penyunting, pemberita yang menulisnya mudah menjadi mangsa makian. Penyunting melepaskan stres kepada pemberita.

Setelah agak lama saya melakukan kerja menyunting bahan berunsur Islam, saya semakin sedar bahawa penyunting tidak harus ada sikap menyalahkan penulis. Penyunting harus bersikap membantu dan menyelamat. Membantu penulis memperkemaskan tulisannya dan menyelamatkan tulisan itu dari ‘cacat’.

Apabila stres, boleh saja dicari jalan melegakannya dengan cara yang lebih murni. Baca Quran, berzikir, solat, bersilaturrahim (bertegur sapa dengan rakan sepejabat atau menelefon kenalan), bersedekah, atau dapatkan secawan kopi …apa saja yang baik untuk melapangkan kembali dada yang dihimpit stres.

Rugi jika kita menyunting tulisan-tulisan yang baik isinya tetapi kita tidak dapat mengambil manfaat daripadanya.

Rugi jika kita mengambil sikap mencari salah penulis kerana ini mengurangkan keberkatan ilmu. Bukankah pada setiap tulisan yang baik isinya itu ada ilmu?

No comments: