BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, January 21, 2009

Kill Your Darling!

Kira-kira 20 tahun lalu, saya berkongsi dengan sifu saya ungkapan ini, “Kill your darling!” (Untuk Anis keluaran Mac 2009, beliau menulis mengenai judul yang sama tetapi mengaitkannya dengan ‘darling’ dalam kehidupan.)

“Kill your darling” merujuk kepada frasa atau ayat dalam hasil tulisan kita yang kita berasa sayang untuk potong tetapi sebenarnya perlu dibuang untuk melancarkan tulisan.
Sewaktu menulisnya, kita merasakan ia hebat dan indah, lalu kita menganggapnya ‘darling’. Tetapi apabila ditimbang semula, ia terasa pula janggal atau tidak relevan. Apabila kita buang ‘darling’ itu, ia tidak mencacatkan tulisan, sebaliknya membuang kecacatan pada tulisan itu.

Bermakna, frasa atau ayat yang kita sayang sangat itu sebenarnya tidak perlu ada dalam tulisan itu. Ia perlu dinyahkan.

‘Darling’ ini ada kalanya berada di baris-baris pembukaan (intro) dan ada kalanya di tengah-tengah isi tulisan atau mungkin di penutup.

Oleh sebab itu, penulis perlu melakukan ‘self-editing’ selepas habis menulis satu artikel, buku atau skrip. Dia perlu menyemak dan membaiki sendiri tulisannya sebelum menyerahkan tulisan itu kepada editor.

Penulis harus mencari dan membunuh ‘darling’ dalam tulisannya, sebelum membiarkan editor membunuhnya.

Dalam menyemak semula tulisan kita, kita akan mencari ruang kesilapan yang boleh dibaiki (atau ruang kedangkalan yang boleh disempurnakan dengan cara menambah isi atau ungkapan).
Itu pun, ada perkara yang penulis sendiri mungkin terlepas pandang. Ada orang lain yang akan mengesan kesilapan atau kekurangan, lalu membunuh ‘darling’ yang dapat dikesan itu.

Adalah lebih baik jika penulis sendiri yang dapat mengesan frasa atau ayat yang janggal dan tidak relevan dalam tulisannya – frasa atau ayat yang kita anggap hebat dan indah tetapi hanya ibarat gincu di pipi. Sesuatu yang tidak sepatutnya berada di situ!

Ada seorang rakan penulis yang sering meminta saya menyemak artikelnya kerana tidak mahu ada elemen ‘syok sendiri’ di dalam tulisannya. Dia bimbang ada ‘darling’ dalam tulisannya yang dia tidak nampak dan mungkin juga bimbang sekiranya editor yang kurang berpengalaman turut terlepas pandang lalu membiarkan ‘darling’ itu mencacatkan kelancaran tulisannya.

2 comments:

abuyon said...

Salam. en. zakaria, atau ada tak apa-apa panggilan yang lebih mesra untuk saya panggil. Baca entry ini, bimbang pula saya. Boleh bagi contoh tak, yg mcmana dikatakan 'darling' yang hendak di'kill' ini.

Di blog gentarasa pun saya dah baca. Mungkin nanti saya akan komen perkara yg sama, mahu dengar pandangan beliau pula.

Zakaria said...

Wkmslm Sdr Abuyon. Entri ini sebenarnya nak beritahu penulis supaya jangan mudah puas hati dengan tulisan. Mesti buat self editing, kemudian beri kepada orang lain baca, sebelum percayakan tulisan kita kepada editor.
Secara ringkasnya, 'darling' adalah apa-apa yang tak relevan dengan hala tuju tulisan kita. Ayat atau ungkapan itu mungkin bernas, tapi berada di tempat yang salah.
Saya pun ada pengalaman tulisan saya dipotong 'darling'nya. Malah turut ada beberapa pengalaman tulisan saya, saya rombak semula selepas mendapat pandangan sahabat atau pandangan isteri (baca: pembaca peribadi).