BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, January 30, 2009

Tidak Semua Orang Perlu Menjadi Penulis (KEMASKINI)

Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad adalah murid kepada Habib Umar bin Abdurrahman al-Attas, ulama besar dari Hadramaut, Yaman (992H-1072H). Semasa hayatnya Habib Umar tidak mengarang sebarang kitab, kecuali menyusun zikir yang dikenali sebagai Ratib al-Attas, yang diamalkan di merata tempat sampai ke hari ini.

Seorang murid Habib Abdullah bertanya kepada beliau mengenai gurunya Habib Umar yang mengikut pemikiran cetek si murid, mempunyai kekurangan kerana tidak menghasilkan sebarang karya. (Habib Abdullah sendiri banyak menghasilkan kitab, selain menyusun zikir yang dikenali sebagai Ratib al-Haddad.)

Habib Abdullah lalu berkata kepada muridnya yang bertanya itu, “Aku adalah salah satu karya beliau.”

Habib Umar tidak mewariskan karya-karya bertulis tetapi beliau ‘mencetak’ manusia melalui didikan dan bimbingan.

Ya, tidak semua orang perlu menjadi penulis. Ertinya, tidak semua orang dikurniai bakat dan minat untuk menulis. Tetapi orang-orang yang mempunyai pemikiran dan kefahaman Islam yang tinggi mampu melahirkan penulis yang ada idealisme.

Habib Umar bukan penulis, tetapi beliau melahirkan anak murid yang berketrampilan sebagai penulis. Habib Umar mencetak insaniah Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad hingga Habib Abdullah mampu menumpahkan idealismenya ke dalam karya-karyanya seperti an-Nashaa’ih ad-Diiniyah, ad-Da’wah at-Taammah”, al-Muzakkarah Ma’a al-Ikhwan wal-Muhibbin, al-Fawassal al-’Ilmiyyah dan Ithaf as-Sa’al Ba’jawabah al-Masa’al.

Wajarlah bagi penulis yang membawa idealisme berteraskan Islam untuk berguru bagi menambah kefahaman dan penghayatannya dalam agama. Kefahaman dan penghayatan itulah yang hendak ditumpahkan ke dalam karyanya supaya karya itu ada roh.

Guru mursyid mungkin sukar dicari sekarang ini. Oleh itu, cari saja mentor yang mempunyai banyak ciri kesempurnaan pada dirinya, walaupun dia tidak sempurna. Cari mentor yang ada ciri guru mursyid walaupun dia bukan mursyid.
Mohon kepada Allah agar mempertemukan kita dengan mentor yang dapat memberi kita bimbingan dalam memahami, mengamalkan dan menghayati agama. Carilah mentor ini di majlis-majlis ilmu, bukan sekadar melalui buku. Jika Allah izinkan, kita akan bertemu. Mentor ini mungkin tidak pernah menghasilkan walau satu tulisan. Tetapi dengan bimbingannya, kita dapat menulis dengan fikrah yang jelas dan kefahaman yang jitu hasil keberkatan ilmu yang diperolehi dengan menjaga adab-adab berguru.

4 comments:

AKU DAN PERJUANGANKU said...

salam singgah dari ana...

abuyon said...

salam en. zakaria, apa betul sekarang sudah tiada mursyid. saya baca buku sirratul asrar, Syeikh Abd. Qadir Jailani beritahu cara nak cari mursyid, mohon dengan Allah. Cari mursyid melalui-Nya.

Anonymous said...

Waalaikumussalam abuyon. Maaf jika saya khilaf dalam soal mencari mursyid ini. Saya patut guna istilah 'mungkin sukar', bukan 'mungkin tidak ada'. Kata guru saya, "Jika tiada rotan, akar pun berguna juga." Oleh itu, bagi saya, kita patut cari guru yang mempunyai banyak ciri 'mursyid' walaupun andainya dia bukan mursyid. Mempunyai banyak ciri kesempurnaan walaupun dia tidak sempurna. Guru yang ada teladan pada dirinya dan ada sifat warak. Guru begini ada insya-Allah, jika kita mahu mencarinya dan, ya, mohon kepada Allah agar Dia merezekikan kita bertemu guru seperti itu. Wallahu a'lam.

abuyon said...

Alhamdulillah, kalau begitu, saya setujulah. Sebab pernah guru saya sebut, kadang-kadang mursyidnya dah adapun depan mata, tapi hati kita yang tak nampak. Jadi, nak kenal Tuhan, melalui Tuhan juga. Kena mohon pada-Nya