BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Saturday, October 25, 2008

Editor Menggesa Penulis

“Sedang sibuk program? Ada masa untuk diluangkan kepada Anis dalam sehari dua ini?”

Begitulah lebih kurang bunyi sms saya kepada rakan penulis yang menjadi kolumnis majalah Anis.

Selalu apabila kebetulan tiba hari Jumaat, saya biasa mulakan dengan ucapan seperti ini, “Assalamualaikum, moga dirahmati Allah dan diberkati serta dipermudah segala urusan pada hari Jumaat yang permai ini. Sibuk hari ini? Dapat beri sikit masa untuk Anis?”

Kadang-kadang apabila ‘deadline’ sudah terlalu suntuk, saya akan menghantar sms yang lebih kurang begini, “Bahtera Anis sudah hampir belayar, tidak lengkap rasanya pelayaran ini tanpa … (saya menyebut nama kolum yang diisi oleh rakan penulis berkenaan di dalam Anis).”


Ini merupakan sebahagian daripada tugas editor dalam penerbitan majalah, iaitu ‘menggesa penulis’.

Jadual penerbitan perlu dipatuhi demi kelangsungan penerbitan majalah dan maslahat khalayak pembaca. Dalam masa yang sama, editor harus cuba memahami kesibukan para kolumnis, lebih-lebih lagi jika seseorang kolumnis itu bukanlah penulis sepenuh masa. Dia menulis di celah kesibukan urusan seharian. Sesetengahnya sering terlibat dalam program-program motivasi di luar daerah, muncul di tv atau ke udara di radio.

Saya mahu memberi rangsangan kepada mereka untuk menyiapkan artikel dengan kadar seberapa segera yang boleh tanpa nada mendesak. Lagipun, sedari awal kami menawarkan mereka menjadi kolumnis, kami yang mahukan mereka menulis, bukan mereka yang beriya-iya menawarkan diri. Oleh itu, kamilah yang terlebih dahulu harus memahami situasi mereka.

Di kalangan kolumnis itu pula, mereka juga mengisi kolum di dalam majalah atas dasar persahabatan dengan editor. Hal ini lebih kuat mendorong mereka berkongsi ilmu dan bersama-sama menyampaikan didikan serta memberi motivasi kepada khalayak pembaca majalah berkenaan.

Sehingga kini pun, selepas lebih tiga bulan saya meninggalkan meja majalah, saya masih terus menjadi perantara antara meja majalah dengan beberapa orang kolumnis. Mereka juga selesa untuk terus berhubung dengan saya, bukan berhubung langsung dengan editor majalah.

Setiap bulan pihak editor majalah akan mengingatkan saya tentang ‘deadline’ dan saya pula akan menghubungi rakan-rakan penulis tersebut untuk menyampaikan hasrat editor. Apabila ‘deadline’ sudah suntuk, tugas saya adalah menyampaikan mesej ‘sense of urgency’ kepada para kolumnis itu.

Keadaannya agak berbeza, tapi serupa, apabila saya menjadi editor buku. Bezanya, kali ini desakan 'deadline' bukan dipengaruhi oleh tarikh tertentu setiap bulan, tapi oleh jadual penerbitan yang saya dan pengurus jabatan sendiri tetapkan.

Saya masih perlu bertegas dengan 'deadline' untuk memastikan jadual penerbitan lancar, tapi masih boleh memberi lampu hijau kepada penulis yang memohon keuzuran. Adakalanya penulis memohon dilanjutkan tempoh dia harus menyiapkan manuskripnya atas halangan tertentu. Jadual penerbitan akan diubah suai tapi ia tidak menyebabkan sesebuah buku itu tidak dapat diterbitkan langsung. Cuma jadual penerbitannya harus dianjakkan ke depan untuk memberi laluan kepada buku lain.

Memang sebahagian daripada tugas editor adalah menggesa penulis, tetapi editor juga harus tahu meletakkan dirinya di tempat penulis. Menggesa adalah wajar, tapi tidak seharusnya mendesak. Pendekatan yang berhikmah itu perlu.

5 comments:

Hasrizal Abdul Jamil said...

Assalamualaikum ustaz.

Sayalah salah seorang daripada penulis yang sering menanti-nanti sms 'amaran' dari ustaz. Sibuk memang sibuk, tapi sebenarnya boleh sahaja tidur lewat satu dua jam pada malam tertentu untuk menyiapkan artikel.Tapi entah kenapa, sms amaran ustaz menjadi sumber inspirasi tatkala saya buntu menulis.

Keistimewaan sms ustaz yang saya sentiasa kenang ialah, dalam kelembutan, ada amaran! Itulah yang diperlukan oleh penulis brek tak makan seperti saya ini.

Terima kasih ya... moga pasukan Majalah Galeri Ilmu akan dapat mengambil hikmah yang istimewa ini.

Anonymous said...

Waalaikumussalam ustaz.

Sama-sama. Semoga ustaz tidak serik untuk terus menulis dan menerbitkan hasil tulisan bersama Galeri Ilmu. Hanya apabila ustaz sudah serik menulis, barulah saya akan serik memberi 'amaran' kepada ustaz. He he.

abdi said...

Alhamdulillah, bertahun-tahun saya boleh bertahan menjadi kolumnis Anis sebab sms berhikmah itulah. Terasa diri diingati, dihargai dan diperlukan. Ini fitrah manusia. Terasa bersalah lebih baik daripada rasa dipersalahkan. Apapun tahniah zek. Menulis sesuatu tentang dakwah dan tarbiah memerlukan pendekatan dakwah dan tarbiah juga. Kalau yang jahatpun didoakan oleh Rasul, apatah lagi orang yang 'leka', 'malas' dan adakalanya terlalu 'sibok' macam kolumnis. Ingat selalu, angin sepoi-sepoi bahasa itu lebih mampu 'meluruhkan' sikatak yang berpaut daripada angin kencang. He, he... keletihan saya selalunya luruh dengan sms senada dengan itu. Tahniah, Anis... Tahniah Zek. Mudah-mudahan lebih banyak buku dihasilkan. Dalam perjuangan tidak ada persaingan, yang ada perkongsian. Bukan 'competing' tetapi 'completing'sesama kita.

Anonymous said...

Marilah sama-sama kita berkongsi seni-seni di arena penulisan ini. Seni-seni itu yang menjadikan bidang ini satu gelanggang yang indah. Ada peraturan dan etika maknawi yang harus dikuasai, yang mudah-mudahan selari dengan peraturan Allah.

Anonymous said...

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Abdi yang telah menjadi guru penulisan saya dan banyak memberi input selama ini atas dasar persahabatan. Moga Allah jua membalasnya. Dan mohon sokongan doa, teguran dan pandangan untuk dapat saling 'completing' sesama kita.