BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, October 10, 2008

Hubungan Maya Penulis-Editor

Saya pernah terbaca pengalaman seorang editor ‘mengejar’ penulis sampai ke rumahnya semata-mata untuk ‘menggesa’ sang penulis menyiapkan tulisannya yang hendak diterbitkan.
Tapi bak kata-kata dalam satu iklan televisyen, “Dunia sudah maju. Zaman sudah berubah.”

Sekarang banyak urusan antara penulis dan editor yang berlangsung melalui dunia maya – internet. Ketika saya menulis artikel ini, saya sedang berurusan dengan dua orang penulis rakyat Malaysia yang berada nun jauh di seberang laut. Saya tidak langsung melihat hal ini sebagai satu masalah. Sebabnya, saya ada pengalaman berurusan dengan penulis buku yang bermastautin di Amerika Syarikat. Walaupun sudah saling mengenal semasa di tanahair, kami tidak bertemu muka dari peringkat saya mencadangkan kepadanya idea menulis hinggalah buku itu siap dicetak.



Penulis yang saya maksudkan adalah Hasan Suyut, penulis buku kisah benar, Atiq Wazif: Satu Anugerah. Hasan kini bermastautin di Orlando, Florida, AS.

Saya kenal Hasan sewaktu sama-sama buat umrah pada Jun 2006. Semasa ikut rombongan ke Tanah Suci itu, kami taklah kenal rapat, cuma sekadar bertegur sapa dan bertanya mengenai anak istimewanya, Atiq Wazif. Waktu itu Hasan bersama isterinya Cikgu Dora bawa Atiq Wazif ke Tanah Suci. Mereka sudah bernazar jika Wazif ditakdirkan boleh berjalan, mereka akan bawa dia ke sana. Wazif boleh berjalan selepas beberapa kali menjalani sesi rawatan di Erkang Hospital, Beijing.

Balik dari Tanah Suci, saya dapat emel Hasan, meminta jasa baik saya untuk siarkan kisah Wazif dalam majalah ANIS. Hasan kemudian mengunjungi pejabat ANIS (Galeri Ilmu Sdn Bhd) di Taman Tun Dr. Ismail. Waktu itu saya masih Editor Kanan di majalah Anis. Rupanya Hasan sedang usaha kumpul dana untuk Tabung Perubatan Wazif. Hasan hendak menghantar Wazif dapatkan rawatan di AS.

Atas permintaan Hasan, saya siarkan kisah beliau dengan anak istimewanya Wazif di dalam Anis. Banyak juga pembaca memberi respons yang baik. Hasan juga mendapat kerjasama bekas Datuk Bandar KL, Datuk Mohmad Shaid Taufek untuk anjurkan pertandingan Golf Amal. Saya turut hadir di majlis penutup Golf Amal itu di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara.

Beberapa bulan selepas itu, Hasan bawa Wazif ke Florida selepas dapat mengumpul kira-kira RM100,000. Wang sebanyak itu adalah untuk sekali sesi rawatan saja di pusat yang dikenali sebagai Therapies4kids, kerana tidak mencapai sasaran mengumpul RM400,000. Bagaimanapun, Hasan bersyukur. Rawatan di AS itu memberi kesan yang baik pada Wazif.

Pada pertengahan 2007, saya terkejut apabila Hasan beritahu dia akan membawa keluarganya ke AS dan menetap di sana buat beberapa lama. Tujuannya semata-mata untuk membolehkan Wazif menjalani rawatan lanjut. Setelah lama tidak dapat khabar beritanya, pada 27 November 2007, saya bertanya perkembangan Hasan di AS melalui emel.

“Kalau ada cadang bukukan kisah Wazif nanti, bolehlah kita kerjasama. Atau apa-apa buku yang saudara rasa nak tulis, tulislah sebab berdasarkan laman web Wazif, saya tengok saudara ada skill,” kata saya.

Hasan memberi respons yang baik. “Untuk April nanti saya insya-Allah akan cuba drafkan satu buku,” katanya apabila saya nyatakan bahawa Galeri Ilmu Sdn Bhd hendak menerbitkan sejumlah judul buku untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC awal April 2008. Dia bertanya dan meminta pandangan mengenai beberapa perkara untuk memulakan projek penulisan buku itu.

Ekoran dari itu, kami kerap berbalas emel. Saya memberi input-input dan tip-tip kepada Hasan untuk membantunya menulis. Antara lain, saya nyatakan bahawa buku yang nak ditulis mengenai anak istimewanya itu nanti biarlah berbentuk penceritaan (naratif), ada gaya macam novel, dan boleh ditulis secara kronologi atau boleh juga guna teknik imbas kembali. Saya beri contoh, dia boleh mulakan bukunya dengan penceritaan kehidupan di AS sekarang, kemudian baru mengimbau rentetan kejadian yang melibatkan Wazif yang menjadi penyebab mereka sekeluarga merantau ke AS. Apa pun, fokusnya pada Wazif.

“Jangan lupa masukkan dialog di sana sini supaya penceritaan lebih 'hidup' dan menarik,” kata saya, sambil mencadangkan beliau melayari saifulislam.com untuk melihat contoh penulisan berbentuk pengkisahan yang baik.

Saya juga syorkan dia menceritakan latar tempat dan latar masa sesuatu insiden yang berlaku. Misalnya, gambarkan latar hospital di Beijing tempat dia dapatkan rawatan untuk Wazif – gambarkan suasana, fasiliti yang ada, tentang warga hospital dan sebagainya.

“Selitkan unsur perasaan – apa saudara rasa, apa Cikgu Dora rasa pada detik-detik tertentu. Selitkan juga unsur tauhid – pergantungan hati dengan Allah waktu hadapi saat-saat cemas, ketidakpastian, saat menunggu dan sebagainya. Di tempat-tempat tertentu boleh selitkan doa yang dipanjatkan kepada Allah waktu itu,” beritahu saya lagi.

Saya juga mencadangkan beliau menulis sekitar 200 halaman (single spacing) dan masukkan gambar-gambar yang relevan untuk hasilkan buku setebal kira-kira 250 halaman. (Buku ini akhirnya setebal 263 halaman.)

Hasan memberi respons yang sungguh cepat kepada setiap saranan saya. Dia juga cepat belajar. Dia sentiasa menanyakan dan meminta penjelasan beberapa perkara yang dia ragu. Pernah dia bertanya, “Dalam penceritaan saya ada banyak nama-nama orang yang terlibat like the doctors, ramai orang yang tolong Wazif masa fund raising, etc. Is it ok to use their real name, or do I have to get their permission to include their name. If so, do I have to get their permission? Satu persatu, ramai pulak...”

Pada awal Januari, Hasan emelkan kepada saya draf awal dua bab yang beliau berjaya siapkan untuk saya beri komen. Bukan bab pertama dan bab kedua, tapi bab pertama dan bab akhir. Beliau mulakan penceritaannya dengan mengimbas kembali saat mereka sekeluarga bersiap-siap untuk ke AS dan kemudian bertolak dari KLIA dengan dihantar oleh sanak-saudara dan sahabat-handai. Dalam bab akhir pula, beliau menceritakan kehidupan dia sekeluarga di AS sekarang.

Dari situ saya beri beberapa komen untuk beliau baiki. Saya beritahu beliau, secara keseluruhan buku ini ada daya tarikan untuk orang baca dari awal sampai habis. Dan lebih penting, pembaca akan dapat mesej yang boleh dikongsi sebagai bahan motivasi dan iktibar di sebalik kisah yang dipaparkan.

“Ada unsur tauhid yang berjaya diselitkan seperti dalam bab 1. Nilai-nilai kekeluargaannya juga tinggi. Begit juga nilai pengorbanan. Bab akhir merupakan satu penutup yang baik. Nilai kekeluargaan sangat terserlah di situ,” beritahu saya.

“Cuma,” kata saya, “ada beberapa kelemahan yang saya rasa saudara akan perasan dan boleh baiki waktu buat self-editing nanti.”

Saya pun menyebut beberapa contoh kelemahan yang saya kenal pasti. Apa pun, saya sarankan beliau meneruskan momentum yang ada.

Hasan seterusnya mengemelkan bab 2 bukunya. Saya menyarankan di tempat-tempat tertentu diperkuatkan lagi dengan unsur tauhid. Hasan memberi perhatian pada setiap saranan saya. Ini saya dapat lihat apabila dia mengemelkan semula draf yang sudah dibaiki.

Selain ramuan kisah kehidupan bagaimana dia membesarkan anak istimewanya, Hasan juga mahu memberi nilai tambah kepada bukunya. Beliau ingin berkongsi segala yang dilalui dan segala yang dipelajari melalui beberapa penulisan dan beberapa insan yang ditemuinya sepanjang menelusuri kembara anaknya Wazif, yang memberi impak besar dalam kehidupan seharian mereka sekeluarga. Antaranya, maklumat tentang kaedah mendidik bayi di dalam kandungan atau dipanggil In Utero Development yang diamalkannya waktu isterinya hamil anak kelima (adik Wazif).

Beliau bertanya kesesuaiannya kalau tulisan mengenai In Utera Development itu dikekalkan dalam bahasa Inggeris. Respons saya, “Mengekalkan fakta tentang In Utero Development dalam bahasa Inggeris, pun ok juga. Cuma sebab ia makan banyak halaman, saya rasa elok kalau dimelayukan dan diolah mengikut gaya bahasa saudara sendiri… saudara ceritakan semula mengikut apa yang saudara faham. Cara ini juga dapat elakkan buku ini jadi berat. Kalau boleh, kita kekalkan kadar readability buku ini.”

Untuk tidak mengganggu flow dan mood cerita secara keseluruhan, saya cadangkan supaya tulisan-tulisan berbentuk fakta itu diasingkan. Hasilnya, Hasan menyusun beberapa tajuk yang disertakan sebagai Bacaan Bonus di bahagian kedua buku ini, menjadikan buku ini boleh dijadikan sumber rujukan yang sangat berguna untuk ibu bapa. Malah ada satu bab mengenai hubungan suami isteri, kerana kata Hasan, “saya fikir hanya dengan persekitaran suami isteri yang harmoni, anak-anak dapat berkembang menjadi cemerlang.”

Bagaimanapun, kekuatan utama buku ini tentulah pada Bahagian 1 iaitu kisah-kisah menarik, mencuit hati, mengerikan, mencemaskan dan meruntun emosi yang dilalui sepanjang membesarkan Wazif.

Akhirnya, penghujung Februari 2008, setelah kira-kira 3 bulan kami berurusan melalui alam maya, Hasan mengemelkan keseluruhan draf akhir manuskrip bukunya. “Sebenarnya kalau nak ikutkan, saya sendiri masih belum berpuas hati dengan beberapa topik, namun kalau diteruskan mungkin tak ada kesudahannya sedangkan kita mengejar masa,” katanya.

“Banyak juga rintangan yang dilalui sepanjang 3 bulan lepas,” kenangnya kemudian. “Bila dah concentrate menulis, sampai rambut dan misai pun tak terbela! Isteri sampai perli, nak jadi penulis kena serupa dengan A.Samad Said ke?”

Selepas Hasan, rupanya Allah takdirkan ada lagi penulis Malaysia yang sedang berada di luar negara yang berminat untuk menerbitkan buku bersama Galeri Ilmu. Kedua-dua penulis ini sudah dikenali ramai, cuma saya secara peribadi belum berkenalan dengan mereka. Tapi, dengan kemudahan kini, internet dapat membantu mendekatkan yang jauh.

Penulis dan editor dapat saling berasa dekat walaupun terpisah di benua yang berbeza.

3 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum...

Salam Ramadhan Ustaz,

Dikesempatan ini saya berpeluang membaca blog Ustaz, terharu sangat dengan kekentalan dua orang penulis yang berada jauh tapi dekat dengan kemudahan layari internet.

Sebaliknya saya yang bernama Rosnani Ripin, pernah berjanji untuk berusaha menyiapkan novel @ karya kreatif yang dicadangkan dengan proposal yang pernah Ustaz emelkan kepada saya. Segalanya terkubur begitu, tapi hati dan nawaitu saya begitu kuat untuk menyiapkan juga dengan bantuan panduan dan tunjukajar daripada Ustaz yang diharapkan...

Walaupun saya berada di bumi Semenanjug malaysia, Kelantan, tapi malangnya saya terpisah dari urusan ini, dek sukar untuk melayari Internet. Untuk pengetahuan Ustaz ketika perancangan projek tersebut, saya berada di Ulu Kelantan. Memang terlalu sukar untuk melayari dunia siber.

Apapun saya bangga dan tahniah dengan kejayaan Team Ustaz. Dari jauh saya doakan Allah memudahkan urusan Ustaz dan team,jua cuba mengikuti perkembangan, pabila seketika singgah di bandar. Pun saya tidak kesal dan patah hati untuk maju berusaha, Insya-Allah saya cuba untuk bangkit kerana sekarang saya kembali menetap di kawasan yang senang untuk melayari Internet.


Semoga hilangnya suara dan sumbangan saya sedemikian tidak dianggap sudah terpadam begitu saja...

Insya-Allah, segala usaha kita akan dipermudahkan dengan izin-Nya selagi ketulusan dan kemurnian hati ini tetap bertahta biarpun tersembunyi. Allah Maha Mengetahui.

Wassalam

Rosnani Ripin

Anonymous said...

Assalamualaikum...

Salam Ramadhan,

Minta maaf banyak2 kerana tidak dapat menghubungi Uztaz selama ini kerana saya berada di Ulu kelantan yang sukar untuk melayari Internet.

Hakikatnya biarpun saya berada di bumi Semenanjung Malaysia tetapi kerana kekangan layari Internet buat saya berada jauh lebih jauh dari London, US, Australia dll

Apapun dari jauh saya tetap menyokong team work Ustaz biarpun diri saya hilang disaat itu. Nawaitu tetap bersemadi biarpu tidak terdaya untuk menggapai.

Allah Maha Mengetahui segala urusan dunia dan akhirat kita..
Insya_Allah, kini saya berada di lokasi yang senang untuk layari Internet. Akan saya teruskan apa yang tercalit pada daya jemari ini...

Wassalam.

Zakaria said...

Waalaikumussalam,

Salam Ramadan, Rosnani. Alhamdulillah, semoga proses berkarya itu menemui semula momentumnya. Saya tidak anggap proses berkarya itu 'terkubur', saya cuma anggap kehilangan momentum yang menyebabkan proses berkarya terhenti atau tergendala.

Kehilangan momentum ini normal, malah kadang-kadang dihadapi juga oleh penulis yang produktif sekalipun.

Semoga Allah bantu dan memudahkan Rosnani meneruskan projek yang tergendala itu. Saya mengalu-alukan sinopsis (atau manuskrip) novel daripada Rosnani.

Terima kasih atas sokongan. Doakan.