BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, March 24, 2011

Motivasi 'Hidup' Daripada Kisah Benar

Buku kisah benar atau buku berbentuk travelog adalah antara jenis buku yang dapat memberi impak yang baik kepada pembaca. Membaca kisah-kisah yang mempunyai nilai motivasi dan nilai tarbiah dapat merangsang naluri pembaca kepada kebaikan, sama halnya ketika membaca sirah para nabi, para sahabat dan orang-orang soleh.

Walaupun nilai tarbiahnya mungkin tidak setinggi nilai tarbiah yang ada pada kisah-kisah orang bertakwa dan orang soleh dahulu, kisah-kisah begini adalah 'motivasi hidup' yang tetap mempunyai impak tersendiri.

Menulis kisah benar memang memerlukan sedikit asas kewartawanan, tetapi tidak semestinya penulis seorang wartawan atau ada latar belakang kewartawanan. Asalkan penulis seorang yang teliti dan tahu kepentingan fakta dan maklumat dalam penceritaan, dia boleh menulis buku kisah benar yang meyakinkan dan mengesankan.

Di tangan saya ada sebuah manuskrip buku kisah benar tulisan Isyah Radhiah, seorang guru yang mempunyai ijazah dari sebuah universiti di Timur Tengah. Beliau tiada asas kewartawanan tetapi terangsang untuk menulis kisah beliau sendiri selepas membaca buku kisah benar, Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah (Hasan Suyut, Galeri Ilmu Sdn Bhd, 2008). Isyah mampu menulis dengan baik kisah beliau bersama suami (Che Amran 'Raihan') menangani seorang anak yang menghidap ketumbuhan otak.

Ada nilai motivasi dan nilai tarbiah yang tinggi yang disuntikkan pada kisah yang dipaparkan, agar kisah itu bukan sekadar cerita biasa tetapi cerita yang mampu memberikan maklumat, motivasi, kesedaran dan pengajaran berguna kepada pembaca.

Di tangan saya juga ada sebuah manuskrip buku kisah benar yang menyayat hati dan juga mempunyai nilai tarbiah yang tinggi. Ia mengisahkan seorang wanita Inggeris yang datang daripada keluarga Kristian bermasalah, pernah bergelar banduan juvana dan satu ketika dulu tidak percaya kepada Tuhan. "I don't believe in God, I don't believe in Jesus, I don't believe in anything," ungkapnya, sebelum dia mengenal Islam.

Apabila wanita yang dilahirkan sebagai Kathryn Bennett ini jatuh cinta kepada Islam, dia pula diuji dengan ujian yang sangat berat, bermula dengan ujian rumah tangga yang menyaksikan perjalanan sukar untuk menjejaki tiga anak yang dilarikan bekas suami hingga menjadi kes polis, dan kemudian diuji dengan kanser kronik. Semua ujian berat daripada Allah dihadapi dengan sikap yang luar biasa kerana dia melihat semua itu hakikatnya daripada Allah yang pastinya ada kebaikan di sebaliknya. Dengan jiwa tauhid yang tinggi ini, dia boleh menceritakan semula rentetan peristiwa itu sambil tersenyum, seolah-olah semua itu hanya ujian kecil daripada Allah.

Kisah insan biasa yang luar biasa seperti ini akan menjadi sumber motivasi dan sumber tarbiah (didikan) yang sangat mengesankan.

2 comments:

Anonymous said...

Salam Ustaz,
Penulis juga memerlukan sokongan editor yang berhikmah dan tahu cara melenturkan turun naik semngat penulis. Terima aksih atas bantuan, yang utama bila menulis hanya mengharapkan bantuan Allah, ketika itu barulah mudah menyelesaikan amanah.

Ummu Hani

Naurah Musyahidah said...

Banyak manfaat saya dapat drpd blog ustaz ni. Sekarang baru dapat betul-betul belek. Jazakumullah khayral jaza' :)