BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Monday, May 25, 2009

Memetakan Isi Tulisan

Ingat lagi analogi yang saya kaitkan dengan proses menulis? Menulis seperti membina rumah. Seperti membina rumah, kerja menulis perlu didahului dengan proses melakar pelan. Istilah yang biasa digunakan adalah pemetaan (mapping).

Saya belajar memetakan isi tulisan ini daripada sifu penulisan saya Pahrol Mohd Juoi. Saya tidak pasti sama ada saya pernah bertemu mana-mana penulis berpengalaman yang mampu menulis terus di komputer tanpa membuat pemetaan isi tulisannya. Saya hanya kenal ramai penulis yang membuat pemetaan terlebih dahulu sebelum mula menulis, khususnya untuk menulis artikel berat, buku atau novel.

Dalam Bengkel Penulisan Novel Islami di IKIM baru-baru ini pun, Saudara Faisal Tehrani menekankan perlunya pemetaan ini. Ertinya, sama ada menulis karya fiksyen atau bukan fiksyen, penulis harus membuat pemetaan. Ia proses ‘sebelum’ menulis yang perlu dianggap penting.

Membuat pemetaan isi tulisan sama fungsinya dengan menyediakan lukisan pelan dalam membina rumah. Sebelum menulis, kita mencatat atau melakar isi-isi penting tulisan terlebih dahulu. Kerja ini adalah kerja mencatat perancangan. Berdasarkan pengalaman saya, kadang-kadang kita mengubah lakaran beberapa kali untuk menyiapkan ‘pelan’ yang boleh dianggap muktamad. Sambil mencatat perancangan isi tulisan itu, otak akan berjalan kerana dirangsang untuk bekerja. Waktu itu idea untuk mengembangkan isi tulisan sudah mengalir.

Hal yang sama berlaku apabila seseorang itu hendak berucap di khalayak ramai. Pemidato yang berpengalaman selalunya membuat pemetaan isi ucapannya sebelum naik ke pentas. Pemetaan itu mungkin hanya berupa kata-kata kunci yang dicatat mengikut urutan, yang dia sendiri faham.

Ketika melakar isi-isi tulisan, kita juga mencatatnya mengikut urutan dengan gaya lakaran yang memudahkan kita faham. Ada pendahuluan, ada isi di tengah-tengah dan ada penutup. Melalui lakaran itu, kita nampak jelas halatuju tulisan kita. Bagaimana hendak memulakannya dan bagaimana menutupnya.

Apabila hendak menulis buku atau novel, tentulah pemetaannya lebih kompleks. Mudah atau kompleks, pemetaan adalah kerja yang mesti dibuat.

Selepas siap pemetaan, kita hanya perlu melapangkan masa untuk memulakan momentum menulis. Benar-benar duduk menulis.

Kebuntuan sewaktu menulis iaitu apa yang disebut-sebut sebagai ‘writer’s block’ selalunya berlaku apabila penulis tidak membuat pemetaan. Penulis berpengalaman mungkin jarang menghadapi hal ini kerana dia sudah terbiasa membuat pemetaan sebelum duduk menulis. Penulis baru sering menghadapi gejala ini kerana dia tidak menganggap membuat pemetaan itu sebahagian daripada kerja menulis.

3 comments:

WanZayu said...

salam..sepatutnya dalam apa jua tugasan perlu ada perancangan(pemetaan). Cuma saya mahir belum mahir pemetaan sebagai seorang penulis.Kalau nak jawab exam, bolehlah...hehehe

GuwaSufi said...

Salam...

Ada betulnya petua drpd sifu tu...saya tak pandai nak buat pemetaan....bagaimana ye? mungkin Sifu leh wat artikel berkaitan tips pemetaan kot :)

terima kasih.

naim said...

ya, bgitulah....
ada macam2 methode yg diajar...

buat peta tulang ikan.... dll..

apa pun, itu semua proses yang perlu untuk memudahkan penulisan...