Jika ada calon penulis yang menganggap kerja menulis itu hanya duduk menulis semata-mata, mari saya bawakan satu analogi. Saya harap dengan analogi ini, kita akan melihat ada proses yang tidak kurang penting yang perlu dilalui, daripada sekadar duduk mengarang.
Apabila kita hendak membina sebuah rumah, kita harus membuat plan. Kemudian kita harus menyiapkan tapak rumah iaitu menebas dan meratakan tanah. Selepas tapaknya sempurna, barulah rumah dibina. Kemudian, apabila rumah siap, bermula pula kerja mencantikkannya – mengecat, membersihkan sisa bahan binaan dan memasang peralatan yang sesuai. Semua proses kerja ini sama penting.
Kerja menulis juga boleh dilihat dalam urutan yang sama seperti membina rumah. Ada kerja ‘sebelum’ dan ‘selepas’ yang perlu diberi perhatian selain kerja menulis itu sendiri. Jika kita mengabaikan proses ‘sebelum’ dan ‘selepas’, hasilnya tidak akan menjadi sebaik yang kita inginkan, khususnya dalam menghasilkan buku atau novel.
Proses ‘sebelum’ dalam menulis adalah membaca, menyelidik, memeram idea dan memeta (mapping) atau merancang isi tulisan. Bagi kerja menulis novel, ia juga melibatkan proses memilih genre (sama ada genre novel remaja, misteri, kembara, percintaan dsb), mencipta watak, memilih latar, memilih sudut pandangan dan sebagainya.
Manakala proses ‘selepas’ melibatkan kerja memeram draf tulisan, kemudian menyemak dan menyunting. Termasuk dalam proses ‘selepas’ juga adalah memberikan draf karya kepada orang lain untuk dibaca dan diminta pandangan. Proses ini perlu ditangani dengan sebaik-baiknya supaya karya dapat digilap cantik dan berkesan. Berdasarkan pengalaman sendiri serta pengalaman penulis dan novelis yang saya tahu, inilah juga proses di mana karya itu mungkin perlu diolah semula (rewrite).
Sewaktu saya giat mengisi ruangan Fokus dalam majalah ANIS dulu, saya pernah mengolah semula artikel yang siap saya tulis. Biasanya, saya akan memberikan artikel ruangan utama ANIS itu kepada seseorang untuk dibaca. Daripada maklum balas yang saya dapat, saya akan baiki tulisan itu atau menambah apa yang patut, malah pernah ke tahap mengolah semula keseluruhan artikel.
Saya rasa, penulis novel perlu lebih bersedia untuk melakukan kerja mengolah semula karyanya, kerana setiap karya yang baru disiapkan harus dianggap sebagai draf awal atau draf pertama. Jika ibarat rumah, ia baru siap didirikan, belum ditampal plaster simen, dibersihkan dan dicat. Cuma berbeza dengan rumah, tulisan yang disiapkan mungkin tidak seratus peratus mengikut apa yang dirangka atau dipeta. Novel tidak sepenuhnya lahir mengikut apa yang dipeta atau dirangka dalam sinopsis. Ia lebih bebas digarap dan lebih bebas untuk diolah semula kemudiannya.
Mungkin inilah sebabnya Ernest Hemingway mengolah semula novela klasiknya The Old Man and the Sea sampai tujuh atau lapan kali sebelum beliau berpuas hati. Malah beliau bukan sekadar mengolah semula, tetapi menulis atau menyalin semula (beliau menulis menggunakan pensel). Agaknya berapa kalikah Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, mengolah semula novel-novelnya? Khabarnya, Hujan Pagi diolah semula beberapa kali.
Sedemikian pentingnya proses mengkritik, menggilap dan mengolah semula karya sendiri ini hingga dikatakan, selagi seorang penulis tidak boleh menjadi pengkritik yang baik kepada karyanya sendiri, karyanya tidak akan menyinar.
“A rewriting is a large part of what writing a novel is all about,” ungkap Susie Henderson.
Jadi, jangan ada calon penulis yang menganggap kerja sebelum dan selepas proses menulis itu sendiri tidak memerlukan tumpuan penting. Mutu tulisan kita sangat bergantung pada proses ‘sebelum’ dan ‘selepas’ ini, sebagaimana hasil binaan sebuah rumah sangat bergantung pada kerja membuat plan, menyiapkan tapak dan mencantikkan rumah yang disiapkan. Wallahu a’lam.
1 comment:
terims kasih panduan yang sangat berharga..
Post a Comment