BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, April 22, 2009

Mewariskan Harta Maknawi

Ilmu adalah entiti yang apabila dikongsi atau diturunkan kepada orang lain, ia akan bertambah. Oleh itu, memang sama sekali tidak rugi dengan berkongsi ilmu yang kita ada dengan orang lain. Malah untungnya berkongsi ilmu, ia akan menjadi harta peninggalan yang akan sentiasa ada nilai tambahnya.

Apabila kita menulis buku, kita akan semakin untung apabila semakin ramai orang membaca dan mengambil manfaat daripada buku itu. Bukan saja harta itu dapat diwariskan dalam bentuk royalti, malah dalam bentuk harta ‘maknawi’ (harta yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar) iaitu pahala yang terus mengalir.

Malah harta maknawi ini dapat dikongsi pula dengan orang-orang lain di belakang tabir kerja menerbitkan dan mengedarkan buku itu.

Sewaktu Imam al-Ghazali menulis Ihya Ulumiddin dulu, atau sewaktu Imam Syafi’i menulis al-Umm, Imam Malik menulis Muwatta’, Imam Nawawi mengarang Hadis 40, ulama-ulama ini tidak pernah membayangkan begitu ramai orang akan terlibat dalam menyampaikan risalah agama yang mereka tulis itu kepada umat. Mereka dulu menulis dengan dakwat, dan disalin tangan oleh orang kemudian dengan cara yang sama. Sekarang, selepas ratusan tahun, kitab-kitab mereka masih terus dicetak. Ditaip, direkaletak, disunting semula, dipruf, dibuatkan rekabentuk kulitnya, dicetak lalu diedar dan dijual. Pada setiap proses kerja itu, ada orang-orang yang akan mendapat saham dalam kerja menyebarkan harta maknawi yang diwariskan oleh pengarang-pengarang itu. Inilah ‘nilai tambah’ pada harta intelek yang ‘evergreen’ seperti itu. Pengarangnya mendapat pahala dari kerja amalnya mengarang kitab dengan niat mencari keredhaan Allah dan mendapat tambahan dari Allah, insya-Allah, dari kerja menyebarluaskan kitab itu yang dilakukan oleh banyak orang selepas kematian si pengarang.

Apabila menulis diniatkan untuk mencari redha Allah, subjek tulisan juga dijuruskan kepada mencapai niat itu, dan seluruh proses menulis mengambil kira faktor-faktor yang boleh ‘menarik’ redha Allah, misalnya tidak mencuri waktu bekerja dan tidak mengabaikan tanggungjawab yang lebih utama, mudah-mudahan hasilnya nanti benar-benar diberkati.

Maka, saya mengingatkan diri saya sendiri, penting bagi kita untuk mengenal pasti niat dan matlamat sewaktu hendak menulis. Rugi jika kita menulis bahan yang mungkin akan menjadi harta yang boleh diwariskan kepada generasi kemudian tetapi tidak diniatkan untuk mencari redha Allah. Bukankah setiap amal itu dinilai oleh Allah atas niat?


4 comments:

IlhamHamdani said...

Salam Tuan Zakaria,

Saya sudah mencuba nasihat Tuan, digabungkan nasihat-nasihat sifu Ainon dalam penulisan entri-entri di blog saya, ya, berdakwah dengan blog!

Oh, saya doakan juga mudahan GISB menjadi pisang panas sepanjang Pesta Buku!

Terima kasih, Tuan Zakaria!

IlhamHamdani,
Canberra, Australia

SAHABAT AMAL said...

Semoga ana juga dipelihara Allah dari Huzuzun Nafsi

Zakaria said...

Wkmslm Tuan IlhamHamdani,

Semoga Allah memanjangkan lagi langkah Tuan dalam misi dakwah lewat penulisan.

Sayang, Tuan tiada di sini untuk merasai kemeriahan Pesta Buku. Apa pun, memang dalam hidup ini, kadang-kadang kita hanya boleh menjadi pemerhati, bukan peserta. Dengan berkat doa orang-orang seperti Tuan, mudah-mudahan segalanya lancar di sini.

Zakaria said...

Ustaz Amal, doakan ana juga ye. Huzuzun nafsi itu memang halus.