BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Monday, April 20, 2009

Travelog Tarbiah


Sebulan lalu, saya dan rakan editor Encik Nasri Nasir duduk berbincang dengan Tuan Haji Abu Hassan Morad di biliknya. Kami memaklumkan kepada beliau tentang satu manuskrip buku Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang sedang kami tangani. Buku itu dalam kategori catatan pengembaraan atau travelog yang membawa mesej Islam, tetapi kami belum menemui nama siri yang sesuai dengan gaya penulisannya.

Tuan Haji Abu Hassan spontan mencadangkan nama “Travelog Tarbiah” untuk siri itu. Maka lahirlah buku Travelog Tarbiah: Rindu Bau Pohon Tin, yang dijual macam pisang goreng panas di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.

Semalam novelis Ilham Hamdani atau nama sebenar beliau Mohd Izuddin Mahamad Nazir melayangkan e-mel dari Canberra, Australia, memohon tunjuk ajar saya untuk menulis buku travelog yang membawa “mesej Islam yang jelas, dan dalam masa yang sama mutu sastera yang sangat baik.”

Untuk memberikan gambaran kepada beliau tentang gaya penulisan buku travelog yang Galeri Ilmu idamkan, saya menge-melkan contoh tulisan Ustaz Hasrizal melalui buku travelognya itu.
Mesej-mesej Islam dalam buku berbentuk travelog kadang-kadang terkandung dalam cerita itu sendiri, juga dalam dialog-dialog yang menjadi rencah cerita.

Kadang-kadang, cerita dijadikan landasan untuk menyampaikan satu-satu mesej. Mesejnya diselitkan di hujung cerita.

Ini sebenarnya yang membezakan travelog biasa dengan travelog yang membawa mesej Islam. Dalam kembara, ada pengalaman yang boleh dikaitkan dengan kebesaran Tuhan, kekurangan hamba, sifat lapang dada dalam menerima takdir-Nya, kefahaman dalam beragama, kasih sayang sesama manusia dan nilai-nilai tarbiah yang lain.

Sudah semestinya, hanya penulis yang berjiwa Islam saja yang mampu menggarap cerita berisikan tarbiah begini. Galeri Ilmu sangat mengalu-alukan buku travelog yang bukan sekadar mencoretkan cerita, tetapi dalam cerita ada nilai dakwah, ada nilai tarbiah. Selepas Rindu Bau Pohon Tin, bakal menyusul buku-buku lain dalam siri Travelog Tarbiah ini, insya-Allah.


4 comments:

IlhamHamdani said...

Salam Tuan Zakaria yang dihormati,

Terima kasih tak terhingga atas nasihat Tuan. Doakanlah akan ada travelodge-travelodge dakwah yang ke2, 3, 4, 100, 1000. Biar dakwah ini tidak lagi disempitkan di surau, di mana-mana, di atas baskah, di dalam bilik mesyuaratkah, pendekkata: di mana-mana.

Terima kasih.

IlhamHamdani,
Canberra, Australia

Zakaria said...

Wkmsalam Tuan IlhamHamdani. Sama-sama. Dalam penulisan berbentuk penceritaan seperti travelog, dakwah lisanul hal (dengan perbuatan) itu yang banyak berperanan, selain dakwah lisanul maqal (dengan perkataan). Wallahu a'lam.

GuwaSufi said...

Assalamualaikum...

Saya mahu bertanya kepada Sifu...berapa panjangkah catatan utk setiap karya travelog? Dan, adakah perlu bergambar?

Terima kasih:)

Zakaria said...

Waalaikumussalam Sdr anTusufi,

Saya rasa, setebal 100 hingga 120 halaman sudah memadai. Bertaip single spacing. Manuskrip Rindu Bau Pohon Tin (RBPT) adalah kira-kira 100 halaman bertaip 'single spacing', New Times Roman, 12 point. Setelah dibukukan, menjadi 175 halaman. Mengandungi kira-kira 30 bab, dijual dengan harga RM18.

Buku travelog memang elok ada gambar foto, seperti buku RBPT. Editor akan pilih mana gambar yang sesuai, insya-Allah.